Tuesday 28 May 2013

MUZIUM TERENGGANU



PENGENALAN


Ditubuhkan  pada tahun 1976 di bawah Enakmen  Bil.9 Tahun 1976 dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri pada 28 Disember 1976, berkuatkuasa pada 1 November 1977.
Bermula  dengan  sejarah  jumpaan  Batu  Bersurat  Terengganu  di Kampung  Buloh, Hulu Terengganu oleh Syed  Hussein  Ghulam Al Bukhari  pada  tahun 1902.
Batu  Bersurat  itu  dibawa  ke Singapura untuk  disimpan  dan  dipamerkan di Muzium  Gambar Raffles pada  tahun 1923. Pada 3 Februari 1974, sebuah  jawatankuasa  untuk  menguruskan  hal ehwal yang berkaitan  dengan  penubuhan  Muzium  Negeri  telah  dibentuk.
Pentadbiran  Muzium  Negeri  terletak  di bawah  kuasa  Bahagian  Pentadbiran, Pejabat Setiausaha Kerajaan  Negeri  Terengganu  dan  usaha  pengumpulan  bahan  bersejarah  telah dipergiatkan  pada  tahun 1979. Pada  tahun 1981, seorang  curator  telah  dilantik  untuk menerajui  Muzium  Negeri. Manakala menjelang  tahun 1985,  jawatan  ini  telah  ditingkatkan kepada  jawatan  Pengarah.

Julai 1992, Batu  Bersurat  telah  diserahkan kembali kepada Kerajaan Negeri Terengganu dari Muzium Negara. Pada  bulan April 1994, segala  urusan  pentadbiran, pengurusan dan pameran telah berpindah ke   'rumah baru', iaitu  Kompleks  Muzium  Negeri Terengganu  yang terletak di kawasan seluas 27 hektar di Kg. Bukit Losong, Paloh, Kuala Terengganu.



MISI MUZIUM
  • Menyelamat
  • Mendidik
  • Memelihara
  • Mempamer
  • Menyelidik
 
OBJEKTIF    MUZIUM

Penubuhan Muzium Negeri adalah berlandaskan kepada beberapa objektif tertentu sebagai garis panduan dalam melaksanakan aktiviti-aktiviti . Di antaranya adalah:-
  • Untuk menyelamatkan warisan sejarah dan budaya dengan cara memungut, memelihara, menyimpan dan mempamerkan barang-barang lama dan baru yang mempunyai nilai-nilai sejarah dan budaya tradisi bercorak Negeri Terengganu Darul Iman khasnya dan Malaysia amnya.
  • Untuk menjalankan penyelidikan dan kajian di dalam beberapa cabang kebudayaan negeri khasnya supaya penerangan mengenainya dapat disebarkan kepada orang ramai sebagai bahan pengetahuan dan mendidik serta menyemai semangat cintakan sejarah dan budaya sendiri.
  • Untuk menjalankan penyelidikan dan kajian persejarahan negeri dan pemuliharaan terhadap kesan-kesan sejarah yang terdapat di seluruh negeri dengan matlamat meletakkan pandangan sejarah negatif pada perspektif yang sewajarnnya menurut nilai-nilai yang sebenarnya tanpa pengaruh asing. Segenap lapisan masyarakat akan digalakkan menggunakan kemudahan di Muzium untuk tujuan penyelidikan dan pembelajaran.
  • Untuk menjalankan penyelidikan dan pemuliharaan terhadap fauna, flora dan batu-batan yang terdapat di negeri ini.
  • Sebagai aset dan destinasi pelancongan utama disamping membantu serta menggalakkan perkembangan industri pelancongan negeri khasnya dan Malaysia amnya, membantu serta menggalakkan perkembangan industri pelancongan negeri Terengganu.





PERANAN MUZIUM

Muzium memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat dan negara.Sumbangan serta peranan yang dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti dijalankan dapat dilihat daripada beberapa aspek.Antaranya:-

1.Muzium sebagai gedung khazanah sejarah dan budaya negara.

Muzium mempunyai komitmen dan rasa tanggungjawab yang tinggi menyelamatkan dan memelihara warisan manusia dan persekitarannya.Aktiviti menyelamatkan dan memulihara disusuli dengan perlengkapan maklumat dan dokumentasi sebelum dibuku dan diterbitkan untuk sebaran kepada umum.Sehubungan dengan itu, muzium dapat dilihat sebagai pencari dan pengumpul maklumat untuk orang ramai.


2.Muzium sebagai penyebar maklumat dan mendidik masyarakat.

Penyebaran maklumat dan mendidik masyarakat mengenai bidang-bidang tertentu adalah salah satu fungsi utama Muzium. Pameran-pameran dirancang dan diadakan beberapa kali sepanjang tahun merupakan satu cara penting menarik orang ramai ke Muzium sekaligus menyampaikan maklumat kepada masyarakat. Selain itu, hasil penyelidikan dan kajian ilmiah yang dijalankan diterbitkan dalam bentuk buku, monograf, journal dan lain-lain lagi untuk diedar disalurkan ilmu pengetahuan kepada masyarakat keseluruhannya.Cara ini diharapkan dapat melahirkan masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan dan peka terhadap sejarah dan budaya sendiri.Dalam usaha penyebaran maklumat, Muzium Negeri mengambilkira semua golongan peringkat masyarakat. Ini kerana Muzium berpegang kepada konsep " Jika mereka tidak dapat datang ke Muzium, oleh itu Muzium perlu pergi kepada mereka ".

Justeru itu, Muzium Negeri turut merangka program pameran bergerak seperti ke sekolah-sekolah, memberi ceramah, seminar dan lain-lain lagi.

3.Memupuk semangat kesedaran masyarakat terhadap sejarah dan budaya sendiri.

Aktiviti-aktiviti Muzium seringkali selari dengan matlamat mengenai semangat kesedaran dan kecintaan masyarakat terhadap budaya warisan sendiri.Usaha-usaha pemuliharaan dan penyelidikan yang dijalankan dapat membuka mata masyarakat betapa perlunya budaya warisan dipelihara. Serentak itu, ceramah, seminar serta bengkel turut diadakan bagi mengajar dan mendidik masyarakat tentang cara dan kepentingan memelihara budaya warisan.

4.Muzium sebagai institusi pendidikan dan pembelajaran.

Sebagai institusi pendidikan dan pembelajaran Muzium Negeri menyediakan beberapa program tertentu bagi memenuhi aspek ini seperti ;-

a. Lawatan Berpandu.

Pihak Muzium menyediakan pegawai serta kakitangan yang berpengalaman untuk memberi maklumat dan penerangan kepada para pengunjung terutama pelajar sekolah.

b. Ceramah

Ceramah dan penjelasan turut diberikan kepada umum mengenai kemudahan yang ada di Muzium. Guru-guru diberi penerangan dan digalakkan untuk menggunakan artifek Muzium sebagai alat bantu mengajar disamping memaklumkan kepada pelajar penggunaan bahan-bahan rujukan di perpustakaan Muzium.

c. Bengkel

Pihak Muzium juga menyusun program cuti sekolah dengan mengadakan bengkel untuk melatih pelajar sekolah seperti bengkel penyediaan pameran, bengkel pemuliharaan dan lain-lain lagi.

d. Penerbitan Promosi

Sebagai agen penyebar maklumat, Muzium Negeri mengedarkan pamphlet, Buletin dan poskad sebagai hidangan ringan yang menyediakan maklumat ringkas sesuatu perkara seperti pameran, tempat bersejarah dan lain-lain.

e. Menyemai Semangat Kekitaan dan Negarawan

Melalui aktiviti Muzium, seseorang itu dapat belajar untuk mengenali diri sendiri dan orang lain. Sebagai ‘ universiti terbuka ’ bahan pameran yang dipertontonkan memberi peluang kepada setiap anggota masyarakat untuk mengenali budaya keturunan atau bangsa lain. Hal ini dapat memupuk semangat kekitaan.

Para pelawat juga berpeluang mengambil iktibar daripada sejarah lampau, mengenai tokoh-tokoh dan pahlawan negara malah perkembangan teknologi.

Keadaan ini secara tidak langsung dapat memupuk semangat negarawan terutama di kalangan generasi muda.

Selain itu Muzium secara tidak langsung juga menonjolkan peranan dalam membentuk masyarakat peka dan mempunyai kesedaran yang tinggi dengan menanam semangat;

' Past teaching the present'

' Be proud of your Heritage'

‘ Present guiding the future ’

‘ Culture Heritage – Wealth of a nation ’

‘ Museum source of your Roots ’

Pada zaman klasik Yunani, Muzium turut dikenali sebagai 'A place sacred to the Muse specifically, the great institution for literature and scientific studies built and equipped by ptolomy I at Alexandria, which was virtually a university of Hellesnistic world'

Muzium pertama dipercayai telah ditubuhkan di Iskandariah, Mesir pada abad ke 3 sebelum Masehi. Sejak itu institusi mula mendapat perhatian ramai terutama daripada cendekiawan dan para ilmuan berlumba-lumba memberikan definisi muzium yang paling sesuai.

Geo Brown Goode (1895) mendefinisikan muzium sebagai 'An institution for the preservation of those objects which best illustrate the phenomena of nature and the work of man, and utilization of these to increase knowledge and for the culture and the enlightenment of the people'

Dalam pada itu terdapat beberapa definisi berbentuk sementara atau masih kabur yang diutarakan. Majlis Muzium Antarabangsa ( ICOM ), Kesatuan Muzium Kanada ( CMN ) dan Kesatuan Muzium America (AAM) mendefinisikan muzium berlandaskan kepada fungsi dan pengurusannya serta bidang-bidang yang berkaitan dengan institusi tersebut.

ICOM pada Mesyuarat Agongnya 1974 menggariskan definisi Muzium sebagai 'Institusi bersifat tetap, tidak mencari keuntungan, memberi khidmat kepada masyarakat dan perkembangannya, terbuka kepada umum, memperolehi, merawat, menghubungkan dan mempamerkan untuk tujuan pembelajaran, pendidikan dan hiburan, bukti-bukti tinggalan manusia dan persekitarannya.

Tindak balas daripada definisi ini, beberapa aktiviti dan bidang dikaitkan sama sebagai sokongan. Antaranya Muzium ditakrifkan juga sebagai institusi yang terlibat dengan :-

        i. Pemuliharaan, pameran dan Pusat Arkib

        ii. Pemuliharaan dan pengekalan alam semulajadi

        iii. Arkeologi, Ethnologi, Monumen dan Tapak Tanah bersejarah

         iv. Pameran benda hidup seperti Taman Botani, Zoologi,Akuarium dan sebagainya.

         v. Pusat Sains dan Planetarium
Berdasarkan kepada definisi tersebut, tidak dapat dinafikan bahawa Muzium memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan pembangunan ekonomi bagi setiap negara dan masyarakat.Malah Muzium turut membentuk dan mengambil bahagian yang utama membangunkan masyarakat dan negara melalui peranannya yang berbagai (Multifunctional role).

Sehubungan itu, pada 1989 Kesatuan Muzium Great Britain ( MAGB ) telah mendefinisikan Muzium dalam bentuk yang lebih mudah untuk difahami. Institusi Muzium ditakrifkan sebagai 'An institution which collects, documents, preserves, exhibits and interprets material evidence and associated information for public benefit'.

Di Malaysia, Muzium pada peringkat awalnya dikenali sebagai 'Sekolah Gambar' kerana selain artifek arkeologi, gambar-gambar bersejarah turut dipamerkan dengan banyaknya di dalam bangunan Muzium.

Bagaimanapun peredaran masa dan pertambahan pengalaman serta pengetahuan golongan tertentu terutama yang ada kaitan langsung dengan pengurusan dan aktiviti Muzium telah berjaya membentuk identiti baru Muzium.Hal ini turut mengubah pandangan orang ramai terhadap institusi tersebut.

Biarpun terdapat berbagai bentuk tanggapan dan definisi yang berbeza terhadap institusi Muzium, namun begitu adalah tepat jika Muzium itu diterangkan melalui aktiviti serta kemampuan yang ditunjukkan oleh sesebuah Muzium itu.Kejayaan sesebuah Muzium menangani segala permasalahan yang ada dalam usaha mencapai objektif penubuhannya adalah bergantung sepenuhnya kepada keupayaan dan rasa tanggungjawab kakitangannya.Oleh yang demikian sesebuah Muzium itu adalah sesuai didefinisi berdasarkan kemampuan serta kejayaan yang ditunjukkan melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan dengan bersandar kepada fungsi dan garis objektifnya.










No comments:

Post a Comment